Monday, August 27, 2007




Program Motivasi Guru-guru SMAPR

25 Ogos 2007, Hotel Landmark, Batu Pahat:- Program Motivasi Guru-guru SMAPR telah diadakan di Hotel Landmark, Batu Pahat. Program sehari ini diadakan bertujuan memberikan motivasi kepada para guru di sekolah ini agar lebih cemerlang dalam melakukan tugas dan amanah yang diberikan. Fasilitator bagi program ini ialah En. Kamal b. Ahmad Untong Pegawai Kaunseling di Pejabat Pendidikan Daerah Kluang. Antara pengisian program ini ialah, komunikasi, tanggungjawab dan peranan guru. Melalui program seperti ini diharapkan agar guru-guru di SMAPR akan lebih bersemangat mendidik anak bangsa dan meningkatkan prestasi sekolah.

Monday, August 20, 2007





Pembantu Tadbir SMAPR Kemalangan

20 Ogos 2007,Parit Raja Darat:- Satu kemalangan melibatkan Pembantu Tadbir Sek. Men. Agama Parit Raja, Pn. Norziah bt. Abd. Samad telah berlaku di Km 1, Jalan Parit Raja Darat. Kemalangan ini berlaku kira-kira jam 7.30 pagi ketika Pn. Norziah dalam perjalanan ke tempat kerjanya di SMAPR dari Pontian. Kemalangan ini mengakibatkan kenderaan Perodua Kancil yang dipandu beliau terbabas dan masuk ke dalam tali air di jalan tersebut. Walau bagaimanapun, Pn. Norziah terselamat dalam kemalangan tersebut dan hanya mengalami luka-luka kecil. Takziah diucapkan kepada beliau.




Program Restu Ilmu

17 Ogos 2007, SMA Parit Raja:-Program Restu Ilmu telah dijalankan di Dewan Dar’ul Hana SMAPR. Program ini merupakan satu program motivasi menjelang peperiksaan. Program ini dijalankan sebagai satu persiapan diri di saat-saat akhir bagi para pelajar dan ibu bapa yang anak mereka akan menghadapi peperiksaan awam iaitu Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA) bagi pelajar tingkatan 2, Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi pelajar tingkatan 3, Sijil Menengah Agama (SMA) bagi pelajar tingkatan 4 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi pelajar tingkatan 5.

Program ini dianjurkan bersama-sama Unit Bimbingan & Kaunseling SMAPR, PIBG SMAPR, & Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat. Walaupun program ini amat singkat daripada segi pelaksanaannya, namun program ini diharapkan dapat membawa impak besar kepada kesedaran pelajar dan ibu bapa tentang kepentingan persediaan menghadapi peperiksaan demi masa hadapan mereka dan anak-anak mereka. Program ini juga diharapkan dapat menyumbang dengan menyuntik semangat belajar kepada para pelajar bukan sahaja untuk lulus malah cemerlang dalam peperiksaan-peperiksaan awam di sekolah ini.

Matlamat Program Restu Ilmu ini adalah bagi persediaan mental dan emosi para pelajar, ibu bapa dan guru-guru dalam menempuh peperiksaan awam di sekolah ini. Selain itu program ini juga bertujuan untuk mencetuskan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang peranan dan tanggung jawab mereka sebagai pelajar di samping meniupkan semangat dan azam yang tinggi untuk belajar serta bertekad untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan awam iaitu SMRA, PMR, SMA dan SPM.

Antara rasional dan objektif program ini ialah:-

  1. Membimbing dan menyedarkan pelajar tentang tanggungjawab mereka sebagai pelajar dalam menimba ilmu pengetahuan.
  2. Mewujudkan pelajar yang mempunyai azam dan iltizam untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan awam di sekolah ini.
  3. Memberikan semangat, kekuatan dan dorongan dari sudut mental, emosi serta pengisian roh bagi para pelajar untuk menghadapi peperiksaan awam di sekolah ini.
  4. Ibu bapa bersama-sama bertanggungjawab terhadap anak masing-masing dan tidak menyerahkan tugas mendidik anak-anak mereka kepada guru semat-mata.
  5. Guru-guru meredakan dan mengikhlaskan ilmu yang dicurahkan kepada pelajar.



Program Potong Rambut Ala Johor.

14 Ogos 2007:- SMA Parit Raja, Program Potong Rambut ala Johor, telah dilancarkan hari ini oleh Tn. Hj. Mohd. Khudzairi b. Abd. Jabar, Pengetua SMA Parit Raja di Dewan Dar'ul Hana SMAPR. Program ini bertujuan menyahut saranan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri Johor di samping memastikan para pelajar sentiasa mematuhi disiplin. Disamping itu juga, program ini dilaksanakan sebagai perubahan imej kepada para pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam di sekolah ini. Objektif program ini tercapai kerana hampir kesemua pelajar lelaki di sekolah ini menyahut saranan tersebut, bukan itu sahaja malahan guru-guru lelaki di sekolah ini turut memotong rambut mereka mengikut gaya potongan tersebut.