Thursday, September 25, 2008

SELAMAT HARI RAYASELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR & BATIN DARIPADA WARGA SMAPR



Warga SMAPR ingin mengucapkan 'Selamat Hari Raya' & Maaf Zahir Batin buat semua Umat Islam di seluruh dunia agar ukhuwah persaudaraan ini kekal tersimpul rapi abadi sepanjang zaman.
Tahniah SMAPR

Bandar Tenggara, Sabtu, 20 Sept. 2008; Sek. Men. Agama Parit Raja hari ini berjaya mendapat tempat kedua kategori pengurusan asrama cemerlang (PROMAS) dan ketiga bagi kategori pengurusan SPBT sekolah-sekolah menengah agama negeri Johor. Upacara penyampaian hadiah telah dilakukan di SMA Bandar Tenggara dan disampaikan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Johor, Yang Berbahagia Dato’ Zalil Baron. Ini merupakan kali kedua sekolah ini menerima anugerah tersebut di mana pada tahun 2006, sekolah ini telah muncul sebagai johan PROMAS. Mengulas kejayaan tersebut Penolong Kanan (HEM) En. Abdul Samat b. Hashim menyatakan kejayaan ini merupakan kejayaan bersama atas usaha semua warga SMAPR yang bertungkus-lumus menjadikan SMAPR sebagai institusi ilmu yang gemilang.

Thursday, September 18, 2008

Selamat Datang Ustaz Hanafi

17 Ogos 2008; SMAPR hari ini menerima seorang guru baharu iaitu Ustaz Hanafi b. Abd. Hamid. Beliau sebelum ini telah bertugas di Madrasah Arabiah Kluang (MAK). Warga SMAPR mengucapkan selamat datang kepada beliau dan kami percaya dengan pengalaman yang ada pada beliau, Ustaz Hanafi dapat mencurahkan segala ilmu kepada kami dengan penuh didikasi.
Pengarah JAIJ Adakan Lawatan ke Asrama Sempena PROMAS

29 Ogos 2008; Pengarah Jabatan Agama Islam Johor, Dato Zalil b. Baron telah merasmikan Program Mesra Asrama ‘PROMAS’ peringkat Sekolah Menengah Agama Parit Raja. Dalam program ini Yang Berbahagia Dato telah melawat kesemua dorm aspura dan aspuri. Selain beramah mesra dengan para pelajar beliau juga bertanyakan tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh para pelajar ketika di asrama. Dalam ucapan perasmiannya pula, Yang Berbahagia Dato berharap para pelajar dapat menyesuaikan diri tinggal di asrama selain faham memahami bagi mewujudkan keharmonian dalam kalangan pelajar. Selain itu, beliau berharap agar para pelajar meneruskan kecemerlangan bagi melestarikan keunggulan agama Islam. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, Ustaz Nasir Amir dan penolong-penolong pengarah bahagian pendidikan yang lain.
Pengerusi Eksekutif MAIJ Rasmi Sambutan Kemerdekaan di SMAPR

29 Ogos 2008; Pengerusi Eksekutif MAIJ, Dato Zalil b. Baron telah sudi merasmikan sambutan Hari Kemerdekaan ke 51 SMA Pt. Raja melalui acara simbolik pelepasan belon ke udara dan penanaman pokok bunga kebangsaan iaitu bunga raya. Program sambutan kemerdekaan diadakan bertujuan untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan warga sekolah ini.

Friday, September 05, 2008

Ceramah Kebakaran di SMAPR


Rabu, 27 Ogos 2008; Satu ceramah keselamatan telah diadakan di Dewan Dar’ul Hana. Ceramah yang disampaikan oleh En. Abd. Samat b. Hashim bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar tentang aspek keselamatan yang perlu diambil berat ketika berada di sekolah ini. Serentak dengan itu satu latihan mengosongkan bangunan dan kecemasan kebakaran turut diadakan. Program ini sedikit sebanyak telah memberi pendedahan kepada para pelajar tentang langkah-langkah menyelamatkan diri apabila berlaku sebarang kecemasan seperti kebakaran dan gempa bumi. Diharapkan program sebegini diteruskan pada masa-masa akan datang bagi kebaikan warga SMAPR
Program Restu Ilmu - Persediaan ke arah Peperiksaan

Jumaat, 15 Ogos 2008; Majlis Kokurikulum dan PIBG Sek. Men. Agama Parit Raja telah menganjurkan Program Restu Ilmu bagi menyediakan para pelajar dan ibu bapa ke arah peperiksaan. Dr. Hj. Ismail b. Abd. Rahman, Timbalan Dekan (Penyelidikan & Pembangunan) Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Universiti Tun Hussein Onn (HUTM) telah bertindak sebagai fasilitator dalam program tersebut. Program ini bermatlamat bagi persediaan mental dan emosi para pelajar, ibu bapa dan guru-guru dalam menempuh peperiksaan awam di sekolah ini. Selain itu, program ini bertujuan mencetuskan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang peranan dan tanggungjawab mereka sebagai pelajar di samping meniupkan semangat dan azam yang tinggi untuk belajar dan bertekad untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan SMRA, PMR, SMA dan SPM. Program yang berlangsung di Dewan Dar'ul Hana ini diakhiri dengan bacaan ikrar dari pelajar, ibu bapa & guru.