Thursday, January 03, 2008

Selamat Kembali ke Sekolah

SMA Pt. Raja, 3 Januari 2008:- Pihak sekolah mengucapkan selamat kembali ke sekolah kepada seluruh pelajar dan guru sekolah ini bagi memulakan sesi persekolahan 2008. Para pelajar asrama pula telah kembali ke sekolah mulai semalam iaitu 2 Januari. Program hari ini ialah taklimat kepada para pelajar, pengagihan skim pinjaman buku teks, pelantikan organisasi kelas, pembayaran yuran dan urusan pentadbiran. Semoga tahun 2008 ini memberikan lembaran baharu kepada warga SMAPR.

Selamat Bersara

31 Disember 2007, SMA Parit Raja: - Hari ini merupakan hari terakhir Pengetua Sekolah ini, Ustaz Mohd. Khudzairi b. Abd. Jabar bertugas, setelah enam tahun menabur bakti di sekolah ini. Kehilangan beliau amat dirasai oleh seluruh warga SMAPR. Jawatan pengetua sehingga kini masih kosong dan belum ada kepastian tentang pengganti beliau. Seluruh warga SMAPR mendoakan agar beliau terus berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini. Selamat Bersara Ustaz, jasa bakti dan pengorbanan ustaz akan kami ingat selama-lamanya.

Keputusan PMR, SMRA, SMA diumumkan Serentak

27 Disember 2007, SMA Parit Raja:- Hari ini 3 keputusan peperiksaan awam telah diumumkan serentak iaitu, Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA), Sijil Menengah Agama (SMA).

Bagi PMR sekolah ini mencatat 88.66 peratusan lulus , seorang pelajar iaitu Siti Hajar bt. Ismail menjadi pelajar cemerlang memperoleh 9A, manakala Muhammad Dzulkhairi b. Azmi memperoleh 8A 1B, manakala 7 orang memperoleh 7A dan 13 orang memperoleh 6A. Enam mata pelajaran yang mencatat keputusan 100 peratus ialah Bahasa Melayu, Matematik, Sains, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup dan Geografi.

Bagi keputusan SMRA pula, sekolah ini mencatatkan peratus 90.3 peratus lulus. Soleha Hanis Menjadi pelajar cemerlang dengan memperoleh semua mumtaz dalam semua mata pelajaran.

Manakala bagi keputusan SMA sekolah ini mencatat 92.4 peratus pelajar lulus. 3 orang pelajar iaitu, Muhammad Nor Azmi Zainal Abidin, Ahmad Fathi Adil b. Syukri, dan Akil Musyadad b. Hilman mencatatkan keputusan mumtaz dalam semua mata pelajaran. Pihak sekolah mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang berjaya dan berharap kesinambungan kecemerlangan ini dapat diteruskan dari masa ke masa.