Sunday, November 02, 2008

HARI RAYA PERDANA SMAPR 2008







29 Oktober 2008 – SMAPR; Bagi memeriahkan lagi suasana bulan Syawal 1429, Majlis Kokurikulum SMAPR telah mengadakan Majlis Hari Raya Perdana di Dewan Darul Hana. dan penyampaian sijil kokurikulum.
Majlis yang bermula jam 9.00 pagi dimulai dengan bacaan doa oleh Ustaz Hanafi diikuti dengan ucapan oleh Penolong Kanan 1, Ustaz Muhammad Othman.
Dalam majlis ini, Majlis Kokurikulum turut menyampaikan sijil-sijil penghargaannya kepada para guru dan pelajar. Warga SMAPR juga turut dihiburkan dengan alunan lagu-lagu nasyid oleh pelajar putera. Majlis turut diserikan dengan Marhaban daripada pelajar putera, dan diteruskan dengan upacara bermaaf-maafan sesama warga SMAPR.
Majlis turut diselitkan dengan sesi fotografi guru-guru sebagai tanda kenangan abadi yang telah diambil oleh Majalah Syu’latul Kifah.
Majlis diakhiri dengan jamuan ringan. Antara juadah yang disediakan ialah ikan keli masak pecal, kambing panggang, pulut kacang, ketupat dan hidangan raya yang lain. Majlis berakhir pada jam 11 pagi. Pada kesempatan ini, warga SMAPR ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua umat Islam di dunia.
Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi SMAPR Berhad ke 6

22 Oktober 2008; Mesyuarat Agung Tahunan ke 6, Koperasi SMAPR Berhad telah diadakan bertempat di Dewan Darul Hana, SMAPR. Mesyuarat yang bermula pada jam 2.30 petang telah dirasmikan oleh Tn. Hj. Kamin bin Jumiran, Penolong Pegawai Hal Ehwal Ekonomi, Jabatan Pembangunan Koperasi Batu Pahat. Mesyuarat kali ini telah dipengerusikan oleh Ustaz Muhammad bin Othman, dalam laporan akaun untung rugi bagi tahun berakhir 31 Mac 2008, Koperasi SMAPR Berhad telah mencatat keuntungan bersih sebanyak RM 20 777.93. Mesyuarat juga telah bersetuju pelantikan bagi ahli jawatankuasa sesi 2009 dikekalkan kecuali ahli jawatankuasa kalangan pelajar yang akan dilantik kemudian. Mesyuarat kali ini turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah untuk ahli-ahli koperasi.